Make your own free website on Tripod.com

SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM)

Apa itu STAM?

Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ialah satu peperiksaan yang mula diperkenalkan pada tahun 2000 hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Al-Azhar Al-Sharif. Peperiksaan lisan dijadualkan akan bermula pada bulan Julai 2000 dan peperiksaan bertulis pada bulan November/Disember 2000

STAM diperkenalkan untuk memastikan pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) melalui satu sistem pendidikan yang piawai dan diiktiraf di dalam dan di luar negara.

Mengapa STAM?

STAM juga diperkenalkan untuk memastikan pelajar Malaysia yang diterima masuk ke Universiti Al-Azhar dan universiti yang setaraf dengannya di dalam dan di luar negara, terdiri daripada mereka yang benar-benar berkualiti dan dapat memiliki ijazah dalam jangka masa yang paling singkat.

Kemasukkan pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar kini dibuat melalui lebih kurang 26 jenis sijil yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan pelbagai sekolah seperti Sijil Tinggi Ugama. STAM diperkenalkan agar sistem dan syarat kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar akan lebih selaras.

Bagaimana STAM wujud?

Bermula pada tahun 1997 persetujuan telah dicapai di antara pihak berwajib Mesir dan Malaysia untuk menyelaraskan sistem dan syarat kemasukan pelajar ke Universiti Al-Azhar .

Berikutan ini Kementerian Pendidikan telah berbincang dengan Al-Azhar Al-Sharif di Kaherah, Mesir pada 10 hingga 12 November 1998 dan persetujuan telah diperoleh tentang pelaksanaan dan sistem pensijilan peperiksaan tersebut.

Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 3 Mac 1999.

Lembaga Peperiksaan Malaysia telah dikenalpasti sebagai badan peperiksaan yang akan mengendalikan peperiksaan ini berdasarkan kurikulum Ma'ahad Bu'uth Al-Azhar.

Kurikulum

Kurikulum yang akan menjadi asas STAM ialah kurikulum Ma'ahad Bu'uth Al-Azhar yang telah dipersetujui antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Al-Azhar Al-Sharif, Kaherah, Mesir dan digunapakai sekarang di SMAN dan SMAR di negara ini.

Kertas Soalan dan Cara Pengujian

13 mata pelajaran yang akan diuji dalam peperiksaan ini ialah seperti berikut:

Bil.

Mata Pelajaran

Bentuk Ujian

1

Hifz Al-Quran dan Tajwid

Bertulis dan Lisan

2

Fiqh

Bertulis

3

Tauhid

Bertulis

4

Tafsir dan Ulumuhu

Bertulis

5

Hadith dan Mustolah

Bertulis dan Lisan

6

Mantiq

Bertulis

7

Nahu

Bertulis

8

Sarf

Bertulis)

9

Insya'

Bertulis

10

Adab dan Nusus

Bertulis

11

Mutala'ah

Lisan

12

Arud dan Qafiyah

Bertulis

13

Balaghah

Bertulis

Calon wajib mendaftar dan menduduki semua mata pelajaran di atas.

Pendaftaran Calon

Syarat pendaftaran calon untuk peperiksaan STAM ialah:

Lembaga Peperiksaan akan mengeluarkan pekeliling pendaftaran dan buku Peraturan dan Panduan Peperiksaan STAM sekurang-kurangnya satu tahun lebih awal daripada tarikh peperiksaan dijadualkan. Pekeliling pendaftaran, buku Peraturan dan Panduan STAM serta borang pendaftaran akan diedarkan kepada calon melalui Jabatan Pendidikan Negeri. Adalah menjadi tanggungjawab semua Jabatan Pendidikan Negeri memastikan calon yang berminat dari negeri tersebut mendaftar sebelum tamat tempoh pendaftaran yang ditetapkan bagi membolehkan proses seterusnya tidak tergendala.

Pensijilan

Untuk STAM, seperti yang telah dipersetujui antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Al-Azhar As-Sharif, Mesir, pangkat sijil dan peringkat mata pelajaran dilaporkan seperti berikut;

Peringkat

Takrif

Mumtaz

Cemerlang

Jayyid Jiddan

Sangat Baik

Jayyid

Baik

Maqbul

Lulus

Rasib

Gagal

Sijil akan dianugerahkan kepada calon yang mendapat sekurang -kurangnnya peringkat Maqbul bagi semua mata pelajaran. Calon yang berjaya mendapat sijil pangkat Maqbul diberi peluang untuk memperbaiki keputusan mana-mana mata pelajaran dalam masa tiga tahun.

Pengeluaran Keputusan

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997, keputusan peperiksaan yang diumumkan oleh Pengarah Peperiksaan akan dikeluarkan dalam bentuk slip keputusan dan dihantar terus ke Jabatan Pendidikan Negeri untuk diedarkan kepada calon melalui pengetua sekolah jika calon sekolah dan terus kepada calon jika calon persendirian perseorangan. Piagam Pelanggan Lembaga Peperiksaan menetapkan keputusan hendaklah diumumkan kepada calon sekurang-kurangnya 3 bulan selepas tamat peperiksaan dan sijil dikeluarkan 6 bulan selepas tarikh pengumuman keputusan peperiksaan. Sijil untuk STAM akan dikeluarkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab.

Salinan Sijil dan Terjemahan Sijil

Sijil asal hanya dikeluarkan sekali sahaja. Mereka yang kehilangan sijil asal atau kerosakan sijil asal, salinan sijil tersebut boleh dipohon dari Lembaga Peperiksaan dengan mengisi borang tertentu.

Untuk peperiksaan STAM, sijil dikeluarkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Walau bagaimanapun, sekiranya calon memerlukan sijil diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, permohonan boleh dibuat kepada Lembaga Peperiksaan. Semua permohonan dikenakan bayaran yang telah ditetapkan dengan persetujuan Perbendaharaan Malaysia.

Kesimpulan

Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan dikendalikan mulai tahun 2000 secara berpusat di seluruh negara oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dengan demikian hanya satu peperiksaan berpusat sahaja akan digunakan sebagai kelayakan untuk permohonan masuk ke Universiti Al-Azhar dan pusat pengajian tinggi yang setaraf dengannya atau pusat pengajian tinggi yang menjalankan program kerjasama dengannya.